Sunday, February 15, 2004

Mengenali Al-Fatihah

[1] Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[2] Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.

[3] Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[4] Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat).

[5] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

[6] Tunjukilah kami jalan yang lurus.

[7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat


______________________________________


Setahun yang lalu, ilmu ini kukutip ketika menyertai sesi tafsir di Musolla UWM (University of Wisconsin-Milwaukee) bersama Syeikh Hijaaz yang kini telah pun pulang ke England. Beliau dikatakan ditugaskan sebagai da'ie untuk membantu masyarakat Islam di United States ini. Telah banyak hati yang menerima hidayah setelah mendengar kata-kata beliau. Kagum juga melihat orang yang soleh seperti beliau kerana nampak di wajahnya biasa dan zuhud, tetapi dirinya punya kemampuan berkata-kata hingga menampakkan sinar hidayah yang panas dalam dirinya memancar sehingga dapat dirasai oleh mereka yang berada di sekitar. Rindunya nak berjumpa dengan Syeikh Hijaaz, rasa bagaikan kehilangannya begitu terasa kerana di Milwaukee ni bagaikan tiada lagi insan seperti beliau.

Ilmu yang kukutip daripada sesi tafsir yang beliau berikan adalah mengenai al-Fatihah, juga dikenali sebagai Ummul-Furqan atau Ummul-Quran yang biasa kita baca dalam mana kita solat sunat mahupun fardhu. Agaknya, berapa ramai di antara kita yang memahami al-Fatihah yang dikatakan merumuskan isi kandungan al-Quran itu tersendiri.

______________________________________


Daripada apa yang Syeikh Hijaaz terangkan dalam sesi tersebut, al-Fatihah terbahagi kepada 3 bahagian yang mana dirasakan perlu difahami oleh setiap diri yang menunaikan solat:

1) Bahagian Satu: UNTUK ALLAH
>>> Dalam 4 ayat yang pertama ada menyebut mengenai Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Dialah Raja yang menguasai hari pebalasan (hari akhirat). Pujian juga dilafazkan dalam ayat ke-2 yang mana segala pujian itu adalah milik Allah. Ringkasnya, dalam peringkat (bahagian) satu ni memang dikatakan fokusnya adalah untuk Allah, 4 ayat pertama al-Fatihah itu adalah suatu pujian kepada Allah SWT kerana kita mengagungkan dan membesarkan Allah dengan menyebut akan kebesaran dan kekuasaan Allah.

2) Bahagian Dua: UNTUK ALLAH DAN KITA (MANUSIA)
>>> Dalam bahagian ke-2 al-Fatihah adalah untuk Allah dan kita sebagai manusia. Kita mengaku Allah itulah tumpuan sembahan dan penghambaan kita dan Dia juga sumber pertolongan ataupun satu-satunya tempat pergantungan yang selayaknya. Bahagian 2 ini hanya merangkumi ayat ke-5 kerana dalam ayat ke-5 itu setelah kita mengaku akan kebesaran dan keagungan Allah, barulah kita mohon daripada Allah akan kebaikan untuk diri kita iaitu pertolongan daripadaNYA. Ringkasnya, peringkat ini adalah 'transition' atau peringkat pertukaran kerana dikaitkan Allah juga kita manusia sebagai makhluk dalam ayat ke-5 tersebut. Fokusnya untuk Allah dan tak lupa untuk kita sebagai manusia (makhluk Allah yang lemah).
(p/s::: perasan tak kita disebut dahulu "kepadaMu (ya Allah)" dan "kami sembah" itu dikemudiankan? nampakkan proses pertukaran, boleh je sebut kami sembah kepadaMu. Tapi kita diajar dalam al-Fatihah sebut 'untuk Allah' dahulu, baru la kita sebut 'untuk kita.' Bahagian ke-2 ini adalah menghubungkan bahagian 1 dan bahagian 3, dalam erti kata lain bahagian 2 ini adalah proses pertukaran (transition) dari bahagian 1 ke bahagian 3)

3) Bahagian Tiga: UNTUK KITA (MANUSIA)
>>> Dalam bahagian akhir (ketiga) surah al-Fatihah, fokusnya adalah untuk kita, manusia makhluk Allah, yang diciptakan untuk mengabdikan diri kepadaNya. Kita mohon hidayah dari Allah adalah untuk kita, kita tak mahu menjadi seperti orang dahulu yang dimurkai Allah juga kita tak mahu menjadi seperti orang dahulu yang sesat. Siapa orang dahulu yang dimurkai Allah dan sesat itu?? Golongan terdahulu yang Allah telah berikan mereka peluang, Allah dah hantarkan para nabi tetapi mereka tetap engkar, mereka dimurkai Allah dan sesat. Kita tak mahu menjadi seperti orang Yahudi yang dimurkai Allah, mereka itu telah berapa ramai nabi Allah yang diutuskan daripada kaum mereka, tetapi masih tetap engkar dan degil. Kita juga tak mahu menjadi seperti Nasrani yang sesat, mereka dah la engkar hinggakan merubah ajaran nabi Allah, Isa a.s. sehinggakan mereka cukup sesat lagi menyesatkan. Tiga adalah sama dengan satu? Secara matematik telah gagal menerangkan akan apa yang mereka cuba tegakkan. Tuhan itu Maha Esa dan Tuhan itu tetap satu dan tidak ada baginya 2 atau 3, Allah itu tetap Maha Tunggal. Kerna itu, dalam ayat ke-6 kita mohon panduan hidayah Allah supaya kita kekal di atas jalan yang lurus ini. Jalan yang tidak sama dengan mereka yang telah dimurkai (Yahudi) mahupun jalan orang yang sesat (Nasrani). Peluang yang Allah berikan ini, kita berdoa supaya tidak disia-siakan seperti kaum terdahulu. Sekali lagi, fokus bahagian ke-3 ini adalah untuk kita.

______________________________________


Jika kita melihat secara menyeluruh, 3 bahagian yang terbahagi dalam al-Fatihah itu menggambarkan betapa kalau kita tunaikan solat itu, kita bukan hanya memuji Allah, solat yang kita lakukan itu juga untuk kebaikan kita. Mulanya kita puji Allah, kemudian ayat ke-5 adalah peringkat pertukaran, setelah kita puji Allah fokus kita adalah untuk diri kita pula. Boleh rasa tak flow dia? Untuk Allah, Untuk Allah dan kita (yang merupakan bahagian transition), dan akhirnya Untuk kita. Solat itu untuk kebaikan kita juga kerna ianya bukan sekadar pujian bahkan doa. Pujian untuk Allah dan doa untuk kebaikan diri kita. Rerenung kembali, patutlah tanpa al-Fatihah, solat itu tak sah. Besar kepentingannya al-Fatihah dalam solat kita.

Dari situ juga, pernah jugak dengar dulu, al-Fatihah ini mengajar kita cara berdoa. Kita puji Allah dahulu, barulah kita mohon sesuatu daripada Allah. Macam kita ketuk pintu dulu, baru la kita bertanya. Jangan terus buka pintu main masuk je rumah orang, tak bersopan sungguh. Rupanya kita juga belajar mengenai adab. Adab bersama Allah, Raja segala raja, mestilah lebih tinggi sepatutnya. Tapi kita setiap hari, ntah doa ke idak, lepas solat terus lipat sejadah, tadah tangan pun macam tak sempat.

Dari memahami al-Fatihah dalam sesi tafsir tu, baru la nampak rupanya solat itu bukan sekadar pujian tapi juga doa. Sebab tu antara waktu yang baik untuk kita berdoa adalah semasa kita sujud. Solat itulah ibarat kita mengetuk pintu, kita mengadu pada Allah, kita mohon pada Allah, kita merintih menangis kepada Allah akan peritnya dugaan hidup kita, akan pedihnya ujian kehidupan di dunia ini.

Masih banyak lagi yang boleh kita fahami kalau kita 'tadabbur' (perhati dan kaji) al-Quran itu. Al-Fatihah itu memang merumuskan al-Quran itu, setiap ayat di dada al-Quran menerangkan akan kebesaran Allah yang menggambarkan sifat-sifat Allah Yang Maha Terpuji. Juga menggambarkan kisah-kisah terdahulu yang menjelaskan pada kita akan sikap umat terdahulu yang dimurkai Allah dan juga sesat. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, amaran telah diberikan kepada kita supaya tidak mengikut jejak umat terdahulu.

Sama-samalah kita cuma belajar al-Quran kerana akan tersingkap segala rahsia al-Fatihah yang menjadi ibu segala surah dalam al-Quran. Ambillah masa wahai diriku untuk lebih memahami al-Quran. Rugilah aku kerana al-Quran adalah antara dua perkara yang takkan buatkan umat Muhammad itu sesat, selain sunnah Rasulullah sollaLLAHU 'alaihi wasallam.

______________________________________
Sekadar mengingati diri ini. Moga bermanfaat untuk kita semua =)
"Ya Allah, Engkau Maha Agung, Engkau Maha Tinggi lagi Maha Pengampun, ampunkanlah diri ini jika ada kekurangan dalam usaha ku ini."

0 Comments:

Post a Comment

<< Home