Tuesday, December 02, 2003

Sekutu Amerika Syarikat rebus ulama sampai mati


JASLIK (Uzbekistan): Seorang ulama Uzbekistan, Muzafar Avazov yang ditahan atas sebab politik, mati dalam sebuah penjara Uzbek akibat diseksa, termasuk direbus dalam air panas.

Malah, mayat Muzafar, 36, yang didakwa pelampau agama dan tahanan politik yang juga satu pertiga jumlah keseluruhan banduan penjara itu, turut mempamerkan ciri seksaan lain dengan semua giginya patah dan kuku tangannya dicabut.

Bagaimanapun, ketua penjara itu, Alikhaidar Kolumbetov yang duduk di atas sebuah kerusi emas, memberitahu wartawan semua banduan dilayan dengan baik dan hidup selesa.

“Penjara ini tidak ubah seperti pusat kesihatan dan banduan menikmati makanan yang enak dan dibenarkan bermain bola. Semuanya baik di sini,” katanya kepada wartawan agensi berita Reuters yang mengunjungi Penjara Jaslik yang terletak di sebuah kawasan gurun di barat Uzbek.

Dia juga menafikan dakwaan banduan di penjara itu dikasari dan mendakwa mereka mati kerana penyakit. Malah Kolumbetov juga tidak membenarkan wartawan Reuters memasuki kebanyakan kawasan penjara itu.

Namun, ibu Muzafar yang mendiami sebuah kawasan di Tashkent, ibu negara Uzbek, kira-kira 1,000 kilometer jauhnya dari penjara itu, tidak percayakan kata-kata Kolumbetov itu.

“Buktinya, lihatlah apa yang mereka lakukan kepada anak saya di Jaslik. Mereka seksanya di sebuah bilik bawah tanah dan memasukkannya dalam air panas,” kata Fatima Mukadyrova, 61, teresak-esak sambil menunjukkan gambar mayat Muzafar yang penuh dengan kesan melecur yang teruk, cedera dan lebam.

Malah, gambar itu dengan jelasnya memaparkan mayat Muzafar dengan jarinya tidak berkuku dan hampir semua giginya patah.

“Pegawai keselamatan mahu mengebumikan mayatnya seberapa segera bagi mengelak sebarang publisiti. Saya berasakan anaknya yang masih belum lahir harus melihat bapanya, tidak kiralah bagaimana rupa dan keadaannya. Oleh itu, seorang lagi anak lelakinya mengambil gambar ini.”

Uzbekistan sememangnya menikmati hubungan baik dengan Washington sebagai pertukaran kepada sokongannya terhadap kempen ketenteraan Amerika di Afghanistan.

Aktivis hak asasi manusia pula berkata penindasan dan seksaan ke atas tahanan politik, terutama atas sebab keagamaan, sememangnya biasa di negara itu.

Malah, sebuah badan hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) menganggarkan ada sekurang-kurangnya 6,000 tahanan politik dan agama di Uzbekistan dan lebih 10 kematian tahanan terbabit dalam penjara akibat diseksa sejak November 2001.

“Kita sudah memfailkan kes seksaan itu yang turut membabitkan kanak-kanak dan mereka lain hanya kerana mereka membangkitkan kes itu di mahkamah. Apa yang menyedihkan, kejadian itu masih berterusan,” kata wakil HRW, Theo van Boven.

Presiden Islam Karimov, yang mentadbir Uzbekistan sejak era Soviet Union, pula enggan mengecam kekejaman itu dan cuba berkata dia perlu tegas menangani pelampau Islam di negara Islam itu.

Seorang tahanan Muslim lain, Nodir Sarimsakov, yang menjalani hukuman penjara 16 tahun kerana ‘melanggar Perlembagaan’ mengesahkan seksaan ke atas banduan sememangnya satu perkara biasa.

"Sehingga lima enam bulan lalu, kejadian memukul atau membunuh sememangnya berlaku di penjara ini,” katanya.

Namun, seksaan itu ternyata tidak menjejaskan pengaruh Parti Hizbul Tahrir yang pro Islam dan mahukan undang-undang Syariah diperkenalkan di negara itu.

Malah sekumpulan penyokong parti itu yang ditahan di Penjara Jaslik ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa marah dan kesal terhadap hubungan akrab Presiden Islam dengan Presiden George W Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

“Anda dari Reuters? Britain? Sila beritahu Blair dan Bush apabila kami dapat menguasai negara ini, mereka akan kami pertanggungjawabkan le atas kekejaman di Bosnia, Afghanistan dan Iraq, serta sokongan mereka ke atas pembunuhan umat Islam Chechnya dan Uzbekistan,” kata Akram Ikromov, 29, yang dikenakan hukuman penjara 18 tahun.

“Allahu Akbar!” laung kumpulan itu sambil mengenggam tangan di udara sambil diperhatikan pegawai penjara Jaslik. – Reuters
_________________________________________
source: Berita Harian Online (Rabu - Dec 3, 2003)
apakah reaksi kita? Sejauh mana rasa tanggungjawab kita terhadap human rights dan Muslim rights?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home