Sunday, November 23, 2003

Mengapa kita masih??!?!?

Sebaik-baik insan adalah mereka yang bermanfaat buat persekitarannya. Bagaimanakan kita dapat menjadikan diri kita individu yang mampu memberi kesan yang baik kepada makhluk di sekeliling kita? Pesanan ini adalah sabda Junjungan Mulia ar-Rasul S.A.W. kepada kita sejak berkurun lamanya. Begitu sukar rupanya untuk mencapai status tersebut, bagaikan memanjat gunung yang begitu curam kerna proses menuju matlamat itu begitu pahit dan perit. Sedangkan dalaman diri sendiri pun kita tak mampu nak tewaskan, inikan untuk menjadi contoh tauladan yang berguna buat orang lain, bila agaknya akan sampai tahap tersebut?

Diri yang kita ingat mampu menewaskan nafsu, selalu kalah. Kata Socrates, dalaman individu ibarat pelumba kereta kuda yang mengawal dua ekor kuda. Bila mana kuda degil yang jahat mengepalai jalan, kuda baik di sebelahnya termasuk pemandu kereta kuda itu sendiri terpaksa akur. Konflik sebeginilah yang selalu berlaku, kita berusaha untuk menjinakkan kuda liar tersebut, tapi kuda liar itulah yang mengheret dalaman kita dan diri kita secara total. Kuda baik yang mendengar cakap yang turut membantu menarik pedati juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana terpaksa akur. Kuda liar yang begitu mengejarkan kepuasan nafsu tidak mampu dikalahkan, akibatnya biasa kita dapati ada yang menyesal tak dapat kawal kuda liar tu dengan baik bila semuanya telah jadi bubur. Kuda putih (kuda baik) yang kita miliki adalah perumpamaan kepada sikap rasional yang mengutamakan sebab musabab akan mengawal dengan baik pedati yang kita cuba kawal, insyaAllah destinasi yang dituju tetap sampai walaupun tidak melulu seperti kuda hitam yang liar. Kata Socrates, cinta yang baik adalah cinta yang dapat mengawal kuda hitam kerana seseorang yang berkasih itu dapat melihat cinta dan insan yang disayanginya secara rasional, pandangan menyeluruh bukan sekadar luaran bahkan dalaman juga dapat dilihat jika kuda putih yang berjaya mengatasi kuda hitam.

Ah, apa yang cuba diperkatakan di sini sebenarnya? Tak jelas, tapi hakikatnya dalam diri kita ada nafsu, iman dan akal. Bertindaklah dengan mengelakkan dari memuaskan nafsu, bahkan gunakanlah iman dan akal sebagai kaca mata yang dapat memberikan rasional yang baik dalam melakukan sesuatu tindakan. Moga kita sama-sama dapat menewaskan kendiri nafsu yang merupakan elemen tetap dalam diri individu.

Allah hafiz
-moga bermanfaat-

0 Comments:

Post a Comment

<< Home