Monday, November 03, 2003

Asy-Syahid Sayyid Qutb dalam Kenangan

Beliau dilahirkan pada tahun 1906 di sebuah kampong bernama Musya, Asyout di Mesir. Beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana dan berpegang kuat pada agama. Semenjak kecil lagi beliau telah berjinak-jinak dengan al-Quran dan tidak hairan jika beliau telah pun menghafal al-Quran semenjak berusia sembilan (9) tahun. Dalam usia yang masih terlalu muda ini beliau telah memperlihatkan beberapa keistimewaan yang bakal menempatkan beliau di kedudukan yang tinggi.

Walaupun masih kecil untuk memahami isi kandungan al-Quran tetapi beliau dapat merasakan makna ayat-ayat ini bermain-main di benak fikirannya seolah-olah kandungan ayat ini hidup di dalam khayalannya. Pengalaman ini diceritakan sendiri oleh beliau. "Saya mula membaca al-Quran ketika saya masih kecil lagi. Walaupun fikiran saya ketika itu masih tidak cukup untuk memahami maksud dan kehendak ayat-ayat ini cuma saya dapat rasakan sesuatu. Setiap kali saya membaca al-Quran ianya tergambar dalam khayalan saya. Gambaran ini memang aneh tetapi saya dapat rasakan kepuasan dan keseronokannya."

Apabila dewasa, beliau melanjutkan pelajarannnya di Universiti Darul 'Ulum dan menetap di Kaherah. Dalam usia yang masih muda ini, beliau terpaksa berdikari memelihara adik-adiknya, Muhammad, Aminah dan Hamidah apabila ayah dan ibu beliau meninggal dunia.

Setelah menamatkan pengajian, beliau memulakan karier sebagai penulis sastera dan puisi di beberapa syarikat akhbar dan majalah seperti Ahram, Risalah, Usbuk, Syarq Jadid, Alam Arabi dan sebagainya.

Pada tahun 194 sehingga tahun 1950, beliau telah dihantar sebagai wakil Kementerian Pendidikan Mesir ke Amerika Syarikat bagi mengkaji sistem pendidikan di sana. Walau bagaimanapun setelah meneliti sistem ini, beliau mendapati hanya sistem pendidikan Islam sahaja yang sesuai sebagai landasan kepada sistem pendidikan di Mesir. Pandangan beliau ini menyebabkan beliau dituduh sebagai kolot dan jumud oleh kalangan individu yang berada dalam Kementerian Pendidikan. Seterusnya pengalaman beliau di Amerika ini dibukukan di bawah tajuk "Amerika Yang Kulihat", yang menceritakan pengalaman beliau mengenai kepalsuan demokrasi dan diskriminasi warna kulit yang wujud di Amerika dengan membandingkan Islam. Apa yang menarik, pada ketika ini beliau masih belum mengenali dakwah Ikhwan Muslimin.

Setelah mengenali dakwah Ikhwan Muslimin, beliau telah menerbikan majalah 'Fikr Jadid' (Fikiran Baru) yang menjadi medan untuk beliau mengkritik sistem kapitalis dan manipulasi golongan atasan ke atas rakyat. Melalui majalah ini, beliau menggabungkan antara fikrah (pemikiran) dan harakah (gerakan) dalam usaha untuk menegakkan panji Islam di dunia Islam.

Dalam tahun 1952, Sayyid Qutb telah dipilih sebagai exco di Maktab Irsyad dan beliau dilantik sebagai pengerusi Unit Penyebaran Dakwah di Ibu Pejabat Ikhwan Muslimin. Pada tahun 1954, beliau dilantik pula sebagai ketua editor bagi akhbar 'Ikhwan Muslimin'. Malangnya, setelah sebulan di pasaran, akhbar ini diharakan oleh Presiden Mesir, Jamal Abdul Nasir kerena menentang perjanjian Mesir-British yang dimeterai Jamal Abdul Nasir dengan kerajaan British. Dalam tahun yang sama pada bulan Januari, beliau bersama-sama dengan ikhwan yang lain telah dipenjarakan di Penjara Qal'aah, Penjara Harbi, Penjara Abu Za'bal, Penjara Liman Turoh. Walau bagaimanapun, beliau dibebaskan pada bulan Mac 1954 disebabkan oleh sakit tenat yang dialaminya.

Pada bulan Julai 1955, beliau dipenjarakan semula, kali ini dengan hukuman penjara seta kerja berat selama 15 tahun. Sekali lagi beliau dibebaskan semula selepas sepuluh tahun menjalani hukuman kerana campur tangan Presiden Iraq ketika itu, Abdul Salam Arif.

Kebebasan yang diperolehi ini membolehkan beliau menumpukan tenaga beliau kepada perkembangan dakwah dan dalam tempoh ini beliau telah menghasilkan banyak penulisan. Buku pertama yang dihasilkan dalam tempoh ini ialah tafsir 'Fi Zilal al-Quran'.


Ke Tali Gantung

Pada tahun 1965, beliau sekali lagi dipenjarakan. Kali ini dengan tuduhan mengepalai konspirasi Ikhwan Muslimin untuk menggulingkan kerajaan. Beliau telah dihadapkan ke mahkamah boneka dengan peguam bela yang dilantik sendiri oleh kerajaan. Dengan keputusan mahkamah yang telahpun ditentukan, beliau bersama-sama beberapa orang Ikhwan yang lain telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Pada waktu Subuh 29 Ogos 1965, hukuman gantung tersebut telah dilaksanakan. Gugurlah seorang syahid pergi menghadap Tuhannya setelah membuktikan kesucian dan keikhlasan perjuangannya. Dari seorang anak yang kecil sehinggalah ke akhir hayatnya beliau tidak rela untuk tunduk akur kepada kezaliman.

Beliau pernah berkata: "Jari telunjuk ini yang menjadi saksi setiap kali dalam sembahyang bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah tidak mungkin sama sekali akan menulis coretan yang hina dan mengampu-ngampu. Jikalau sememangnya saya layak dipenjara, saya reda menerimanya. Tetapi jikalau saya dipenjara dengan zalim, saya sama sekali tidak akan tunduk memohon belas kasihan daripada orang yang zalim…"

Walaupun jasadnya telah disemadikan, namun keimanan dan keikhlasannya tetap bersemi dalam jiwa-jiwa generasi akan datang menjadi obor sementara menanti fajar yang menyingsing.
______________________________________

Sumber: Buku Inilah Islam (Hadza ad-Deen).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home