Sunday, October 12, 2003

Kondom tidak boleh halang Aids



LONDON: Gereja Katolik memberitahu negara yang dilanda masalah AIDS supaya tidak menggunakan kondom untuk menghalang dijangkiti kerana lubang kecil pada alat pencegah kehamilan itu boleh menyebabkan virus HIV tersebar sekali gus mendedahkan beribu-ribu orang pada risiko penyakit maut berkenaan.

Gereja itu membuat dakwaan berkenaan di empat benua walaupun kebanyakan saintis bersetuju kondom mampu mengekang jangkitan virus HIV.

Menurut laporan akhbar The Guardian yang memetik jurucakap Vatican sebagai berkata, pihaknya menyokong pendapat kondom tetap mendedahkan orang ramai pada bahayanya walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri mengatakan sebaliknya.

Dakwaan gereja itu didedahkan dalam program BBC1 Panorama: 'Sex and the holy City' (Seks dan Bandar Suci) yang disiarkan semalam.

Presiden Majlis Vatican bagi Keluarga, Alfonso Lopez Trujillo dalam program berkenaan menyatakan, virus AIDS adalah 450 kali lebih kecil daripada spermatozoon yang mampu menembusi 'jaringan' kondom.

"Berikutan rasa tidak pasti ini, semua kementerian kesihatan dan kempen dilakukan patut mengambil langkah sama seperti dibuat mengenai rokok yang dianggap berbahaya," katanya.

Bagaimanapun, WHO mengutuk pandangan Vatican itu dengan berkata: "Kenyataan tidak benar mengenai kondom dan HIV itu amat berbahaya kerana kita menghadapi sejenis penyakit global yang sudah membunuh lebih 20 juta penduduk dan menjangkiti sekurang-kurangnya 42 juta yang lain."

Organisasi itu pula berkata, penggunaan kondom yang konsisten dan betul mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV sehingga 90 peratus. - Agensi

_____________________________________
Source: Berita Harian Online (Oct 12, 2003)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home