Thursday, December 11, 2003

Hati Unta untuk *KUAT* - DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj

Semasa saya bermalam di Mina untuk menyempurnakan rukun haji pada tahun 1996, seorang ustazah Tabung Haji telah mencanangkan hati unta sebagai amat berkhasiat untuk orang lelaki.

Mula-mula mendengar teriakannya itu bukan saya sahaja yang tersenyum. Bahkan ada yang tertawa kecil, tertawa besar pun ramai juga. Tidak kurang yang terdiam, terpegun seolah-olah tidak percaya dengan apa yang diiklankan oleh ustazah berkenaan. Tapi tak kurang juga yang menyampuk 'iklan-iklan' ustazah itu.

Meskipun kami jemaah-jemaah haji, tapi apabila tinggal beramai-ramai dalam sebuah khemah gelagat lelaki tetap sama. Walaupun pakaian ihram masih menyaluti tubuh, tapi bab-bab 'berkenaan' tetap menceriakan.

"Siapa nak hati unta. Bagus untuk orang lelaki ni!" iklan ustazah itu lagi sambil menjulang-julang seketul hati unta.

"Bagus macam mana tu?" tanya satu suara.

"Bagus apa lagi. Tak kan tak faham," sahut satu suara lain. Semua orang ketawa.

"Siapa nak?" tanya ustazah itu lagi.

"Saya! Saya! Saya!" Ramai sekali orang yang mengangkat tangan.

Ustazah itu pun memotong hati unta berkenaan kecil-kecil lalu membahagi-bahagikannya kepada semua orang yang telah mengangkat tangan, termasuklah saya. Dalam pada itu ada juga orang yang tamak dan mahukan bahagian yang lebih besar. Tidak kurang juga mereka yang berteriak-teriak untuk menarik perhatian ustazah itu. Agaknya masing-masing berfikir, peluang dapat makan hati unta untuk khasiat lelaki mungkin tak ditemui lagi. Kalau ada pun terpaksa beli.

"Free ke ustazah?" tanya seseorang.

"Ya," jawab ustazah itu.

Mendengar perkataan free semakin ghairah kami mengangkat tangan, cuma tak sampai berebut-rebut saja. Hai, keadaannya hampir samalah macam budak tadika diumpan gula-gula.

"Semua dah dapat?" tanya ustazah itu.

"Dah!!!"

"Eh, macam mentah je," adu seseorang.

"Mentah ke ni ustazah?"

"Ya, mentah," jawab ustazah.

"Habis, macam mana nak makan?"

"Makan sajalah."

"Makan saja? Mentah-mentah?"

"Iya, mentah-mentah," jawab ustazah lagi.

"His!"

Agak riuh juga keadaan dalam khemah itu. Masing-masing lihat melihat, siapa dulu yang akan makan hati unta itu mentah-mentah. Kami sempat mentertawakan mereka yang tamak tadi. Hati unta segumpal dalam tangan mereka. Nak makan begitu sajakah?

"Hah, jangan dibuang. Bukan senang nak dapat ni. Hanya di sini kita dapat hati unta. Balik nanti, jangan harap!" kata ustazah.

"Tak boleh masak dulu ke ustazah?"

"Tak boleh. Nanti khasiatnya hilang. Awak semua kan nak khasiatnya."

Semua orang tergelak. Bijak sungguh ustazah itu mengenakan kami. Kalau dia beritahu dulu hati unta itu mesti dimakan mentah-mentah tentu tak ramai yang angkat tangan. Sekarang hati unta mentah sudah di tangan. Nak buang tak boleh. Habis, kena makan jugakah?

Dalam tertoleh-toleh itu kami nampak seorang lelaki yang memejamkan mata dan terus memasukkan hati unta mentah ke dalam mulutnya. Dia mengunyah dengan pantas. Wajahnya kelihatan kerut-merut.

"Tak apalah asalkan kuat," katanya menyebabkan kami semua ketawa berkekeh-kekeh.

Seorang demi seorang mengikut cara lelaki itu makan. Pejam mata, buka mulut dan sumbat ke dalam, kunyah cepat-cepat dan telan! Huwekkk...

Acara makan hati unta beramai-ramai itu memang meriah. Tak cukup dengan gelak ketawa kami giat menggiat antara satu sama lain. Maklumlah, kebanyakan orang yang tinggal sekhemah dengan saya terdiri daripada yang datang seorang diri, 'bujang' tak bawa isteri.

Tapi pendorong terkuat setiap orang adalah 'kuat' yang dijanjikan. Entah kuat apa, tak pulak ustazah itu menerangkan. Dah datangnya daripada ustazah tentulah kami semua percaya.

"Semua dah makan?" tanya ustazah.

"Dahhh!!!" jawab kami serentak.

"Sedap?"

"Rasa untalah ustazah," jawab seseorang.

"Hati unta tentulah rasa unta, takkan rasa kambing pulak," jawab ustazah. Kami semua tergelak.

"Betul semua dah makan ni?" tanyanya lagi. "Ada sesiapa nak lagi. Banyak lagi ni."

Tak seperti tadi, sekarang masing-masing ketawa sendiri dan tiada siapa mengangkat tangan.

"Hai, barang free tak nak ke? Tak nak kuat ke?"

"Biarlah tak kuat ustazah...," balas seseorang. Semua orang ketawa.

"Sekarang saya nak cerita khasiatnya," kata ustazah itu.

"Eh, tadi kan dah cerita?"

"Saya belum habis cerita, awak semua dah bercicit macam anak ayam.

"Saya bagilah...," jawab ustazah itu.

"La..., ada khasiat lain ke?"

"Ada, banyak khasiatnya. Kalau nak tahu hati unta ni kalau dimakan mentah-mentah nanti balik jadi baik macam unta."

"Ha???" Semua orang tergangga.

"Tengoklah unta, baik saja. Tak mengamuk, tak membantah. Tahunya buat kerja.Bergerak pun lambat. Bersopan santun," kata ustazah.

"La, jadi ustazah nak jadikan kami macam untalah?"

"Eh, unta kan bagus. Orang lelaki ni kalau ikut resam unta aman dunia."

Kami benar-benar berasa lucu sendiri. Bijak sungguh ustazah itu memainkan peranannya. Kalaulah dia berkata begitu pada awal-awal tadi, tentu kami tak ingin telan hati unta mentah-mentah.

Pengajaran apa yang mungkin tersirat dalam kisah benar ini, saya serahkan pada puan-puan dan juga tuan-tuan (sebab MW dibaca juga oleh kaum lelaki) untuk memikirkannya. Cuma saya ingin katakan, kebijaksanaan kita boleh mengubah sesuatu yang tidak mungkin dan juga mustahil.

from: my beloved dad

0 Comments:

Post a Comment

<< Home