Thursday, September 01, 2005

Bila duduk termenung, makan seorang diri, sambil bersama kawan-kawan menonton cerita Entourage, terasa kosongnya la dunia. Dunia yang menarik minat hanyalah satu dunia yang penuh hiburan, hakikatnya kosong. Bila hidup di sini lebih dari yang dijangka, tanpa pendirian kuat, akan mengubah pegangan diri, inilah yang mak risau seperti yang diberitahu sebelum aku melangkah pergi. Hari demi hari, melihat ke dalam hidup sendiri, terasa penuh perbezaan, diri yang dikenali sekarang, terasa seperti manusia asing. Tapi, hidup ini tidak berputar 360 darjah seperti yang ditakuti. Cuma perubahan yang berlaku, ada kebaikannya. Yang pasti, rasa sendiri itu sesuatu yang paling bernilai sebagai suatu pendidikan. Melihat diri yang lalu, bagai satu igauan. Berkawan dan bercampur sekarang ni membuatkan aku rasa sangsi, kenapa jiwa kosong ini tidak mereka rasai? Aku sendiri rasai kekosongan jiwa mereka.

Kerna itu, aku ingin menjadi bukan seperti mereka yang kosong. Hati yang kosong meronta pengisian. Merenung saat lalu adalah peta sebelum melangkah ke hadapan. Ilmu yang aku pelajari membantu mendidik kesedaran diri. Hatta formula kira-kira Matematik memetik suis idea, betapa persoalan moral tidak diabaikan jika anda belajar sosial sains. Kata kawanku, kalau ikut ilmu orang kafir ni, persoalan moral tidak menjadi satu perhatian. Tapi, aku pula berpendapat lain, sebab kata pensyarah aku, kita bertindak mengikut kata hati. Ilmu yang kita pelajari ini mengajar kita membentuk kata hati yang baik. Bukan sebab pensyarah itu pegang pada agama dia yang kafir, tapi kerana kata hati yang kami belajar berlandaskan ilmu. Sekafir mana seorang insan, ilmu yang diajar masih ilmu dari Tuhan. Tuhan Yang Maha Satu Maha Pemurah kerana kepada si kafir juga diberinya ilmu kehidupan. Akan tetapi, rugilah orang beriman kalau hanya berfikiran hanya manusia mukmin yang mampu menyampaikan ilmu. Ilmu daripada sesiapa pun kita boleh pelajari. Hatta pokok yang togel tidak berdaun juga mendidik sesuatu. Kerusi yang patah juga menyampaikan mesej. Hanya hati manusia, sebersih mana dalam menuntut ilmu. Permerhatian pada alam adalah satu cara mencapai hidayah, adakah anda tidak yakin? Pasti anda akan terjumpa perkataan "unzhur" iaitu lihatlah mahupun frasa "la'allakum tatafakkarun" iaitu moga-moga kamu berfikir (dengan mendalam).

Jejak kaki di sini juga tidak menghalang aku untuk meneruskan pemerhatian yang aku lakukan sewaktu muda dahulu. Berjalan melihat sekitar, melihat perangai rakan-rakan sebaya, rakan-rakan rakyat betapa jiwa kosong mereka membuatkan mereka terkapai mencari tujuan. Hatta sepemergian aku melihat konsert nasyid membuatkan aku memerhati kesanggupan ibubapa membawa anak-anak ke konsert, anak masih muda dan kecil ini dididik sebegini. Kosongkah jiwa mereka hingga perlukan hiburan lebih dari kaset dan alunan pada radio? Aku yang ke konsert nasyid pun dibelanja kawan. Aku yang pergi seperti biasa menjalankan tugas untuk diriku iaitu memerhati dan merasainya sendiri. Ketika aku di sana, mendengar alunan lagu yang kuat menggoncangkan jantung dan dadaku, kerana bunyinya yang cukup memekikkan. Ah, aku tak biasa dengan kebisingan sebegitu kuat ketika waktu malam. Inginku jerit, "Shut up and cut this crap." Nasyid pun nasyid juga, tapi bagiku waktu malam adalah waktu sesuai untuk duduk berehat dengan sunyi dan tenang di rumah. Mak dan ayah aku tidak mendidik kami menjerit atau bising di rumah pada waktu malam, kalau ada adik yang menjerit menangis atau bergurau senda, aku terasa kacau, angkat tangan saja mereka pun diam. Ah, aku tak mahu jadi macam orang biasa yang lain, tidak kira memekik memekak di waktu malam. Apa aku peduli stadium atau padang lapang sekali pun. Malam waktu rehat. Itu yang diajar pada kita dalam Mashaf Quran, "malam sebagai kerehatan dan siang sebagai waktu bekerja/berusaha."

Tapi kini, aku mempunyai dunia sendiri. Melalak dan memekak sekali pun hanya di dalam dunia sendiri. Selagi aku tidak mengganggu gugat ketenteraman orang lain, selagi itu aku berani memekik dalam kehidupanku sendiri. Tapi, terkadang, persoalan yang muncul, tiap kali kita solat, orang lain memekak buat tak faham kita sedang "bekerja" untuk Tuhan. Tiap kali mereka "bekerja" untuk Tuhan, pastikan diri sendiri faham untuk hormat dan diam. Supaya kita pun tak tergolong dalam kumpulan yang tidak hormat pada "kerja" ibadah kepada Tuhan. Supaya kita tidak jadi seperti mereka. Jiwa kosong mereka menghalang untuk duduk diam, hanya diam selama 5 hingga 10 minit pun membuatkan mereka terasa ingin memberontak.

Kerja memerhati dan merasai ini takkan habis selagi pancaindera yang Tuhan berikan ini masih dapat berfungsi, dan selagi roh yang ditiupkan masih di dalam penjara jasad. Kerja anda ialah memerhati, kerana anda akan jadi saksi pada manusia lain dan nabi akan jadi saksi pada anda di sana nanti. Kalau pegangan hatimu kuat, bersuaralah mencegah dan melarang... kalau kurang kuat sekali pun, cubalah menjadi salah satu suara yang memberikan galakan dan semangat positif.... selagi mata celik, selagi akal berfungsi, selagi kulit merasa, selagi telinga mendengar, selagi jasmani bergerak, input tidak akan putus, sedar atau pun tidak.... sedarlah diriku, kita makin leka dengan kekosongan mereka-mereka... ayuh!
_____________________________
Hormatilah orang yang sedang beribadah... kalau anda telah selesai solat, duduklah diam tanpa mengganggu khusyuknya orang lain.... (&#$)(&#$&)!@ betul la anda tak faham-faham lagi sebab anda bukan budak kecil yang tidak ada otak dan fikiran... Silalah beradab, biadab!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home