Thursday, February 19, 2004

Sebak

Perasaan sebak itu menyelubungi kembali, entah kenapa rasa begitu merindui akan suasana dahulu, suasana dunia yang aku datang. Aku muncul dari dunia yang pelik, hakikat pelik itu kerana tak sama dengan keadaan semasa seperti yang orang lain sangka, kerana orang kebanyakan menyangka keadaan semasa ini adalah realiti kehidupan yang perlu mereka terima dan tempuhi.

Bila mengenang kembali teman-teman seperjuangan dahulu, aku jarang berjuang rupanya... dan hari ni, aku masih sangsi sama ada aku berjuang atau pun tidak sebab tak pernah terdetik dalam diri aku yang aku tengah berjuang sekarang ni. Yang aku rasa sekarang ni, aku rindu pada suasana dahulu. Yang aku rasa sekarang ni aku merasa perit bila mengenang akan bi'ah (suasana) manis yang aku dapat kecapi dahulu.

Hidup ku kini bagaikan perantau yang hampir lupa, perantau yang hampir kabur matlamatnya, perantau yang hampir lupa akan asal-usulnya. Suatu hari aku mengenang kisah silam, aku merintih kerinduan. Sejenak seketika kemudian aku hampir lupa kembali, atau aku patut kata aku lupa sepenuh semula. Bagaikan mencari ubat, tapi kesan racun masih banyak dan makin menjadi-jadi.

Aku yang makin lali dengan racun bagaikan terkapai-kapai mencari ubat, tapi aku bagaikan orang yang telah lali dengan racun, kenapa aku perlukan ubat kalau aku sudah lali? Itu yang buatkan aku merasakan diri ini bagaikan perantau yang terkapai-kapai kehilangan peta. Dahulu aku ada peluang berjalan bersama kawan dan teman yang juga berasal dari dunia yang sama, kini aku tercampak keseorangan, tiada yang memahami macam mana dunia aku dahulu. Dunia aku kan dunia pelik, mana ada orang tahu sebab dunia mereka adalah dunia ini.

Tak mengapalah? Eh mana boleh, aku perlu jadi asing di mata mereka, biarlah aku berdagang... menjadi pedagang yang merantau, bila merantau jadilah diri ini perantau... Bila aku adalah pedagang yang merantau, jadilah diri aku ini asing berada di tempat yang baru, bersama persekitaran yang baru.. Memang aku pelik, memang aku asing, kerana aku tidak sesuai dengan dunia realiti yang tipu ini. Dunia aku adalah dunia aku asal, dunia aku adalah dunia kekal, aku di sini hanya seketika, aku bukan milik dunia ini. Dunia igauan yang seketika ini hanyalah mimpi buat aku, memang benar aku mimpi sebab sekarang ni aku mimpikan diri aku yang kesunyian. Aku mencari-cari teman yang ingin berjalan bersama aku, tapi tak mengapa aku mimpi seketika. Walaupun mimpi, aku takkan biarkan mimpi ini begitu sahaja, aku mahu mimpi ini seperti yang aku hendaki. Mimpi ini perlu begitu dan begini, mimpi ini perlu aku reka jalan ceritanya, mimpi ini takkan terbiar mereka jalan ceritanya tersendiri, sebab mimpi ini mimpi aku, aku yang berlakon dan aku yang buat skrip. Aku tak lupa, ada syarat untuk menjadikan mimpi aku ini indah, syaratnya aku perlu ikut landasan dan batasan yang Producer aku tetapkan.

Aku hanyalah pedagang rupanya
Aku asing
Aku hanyalah perantau rupanya
Aku pelik
Aku hanyalah pelakon dalam mimpi rupanya
Aku... aku... aku adalah hamba rupanya...

_____________________________________________
Sahabat, aku rindu pada saat kita dahulu, aku rindu akan kelibat kalian
Takpe la, walau sunyi aku di sini, DIA tetap ada menemani aku... biarlah aku terasing sendirian, tapi aku tidak sanggup DIA mengasingkan aku dari pemerhatianNYA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home