Friday, July 15, 2005

Fenomena "Ali Baba" dalam ekonomi Malaysia? Apa tu? Satu fenomena yang berlaku sebagai reaksi orang Melayu atau bumiputera yang berfikiran singkat. Tender atau projek yang diberikan kepada mereka dibiarkan urusannya dilakukan oleh bukan bumiputera atau jalan mudahnya dijual langsung kepada bukan bumiputera. Tindakan tidak bertanggungjawab yang dimiliki oleh bumiputera ini membuatkan usaha kerajaan untuk mencapai satu daripada 2 matlamat DEB (Dasar Ekonomi Baru) terjejas, iaitu menghapuskan identifikasi kaum mengikut fungsi ekonomi. Tapi, perkara ini adalah satu kebiasaan bila bumiputera mempunyai sikap ingin cepat dapat wang, kerana mereka sangka cepat dapat wang maknanya cepat kaya. Sikap sebegini teramatlah rugi kerana mereka bukanlah dari golongan yang bijak, kerana wang yang diperolehi dihabiskan dalam tempoh yang begitu cepat. Apa guna?

Kalau pun bukan wang menjadi matlamat, mereka mencari-cari peluang untuk goyang kaki duduk relaks. Sikap sebegini yang buatkan mereka sanggup menggadaikan projek dan tender mereka kepada bukan bumiputera. Bukan bumiputera telah pun menguasai lebih daripada 40 peratus ekonomi negara, walaupun DEB hanya mensasarkan 40 peratus penguasaan ekonomi bagi bukan bumiputera. Inilah yang berlaku bila "Melayu mudah lupa."

Fenomena ini sentiasa membuatkan kerajaan "pusing kepala" kerana melihatkan ketidaksungguhan bumiputera walaupun telah disediakan kemudahan dan peluang. Cuma segelintir bumiputera yang bijak mengambil peluang, tetapi setinggi mana pencapaian bumiputera, bilangannya yang sedikit itu tidak dapat mengalahkan jumlah pencapaian bukan bumiputera. Inilah yang menyukarkan pencapaian matlamat DEB, seperti yang dinyatakan tadi, selain daripada menghapuskan kemiskinan.

Setiap tahun, negara akan merancang dan melaksanakan tindakan berperingkat yang dipanggil Rancangan Malaysia (RM). Akan tetapi, usaha jangka pendek ini sebenarnya tidak berjaya mencapai matlamatnya seratus peratus. Satu penghalang yang membuatkan kita tertanya ialah kewujudan rasuah. "Hulur wang bawah meja" atau "hulur wang masuk bank/kocek orang atasan" adalah satu penyakit yang menggagalkan pencapaian RM setiap tahun. Walaupun ini hanya satu persoalan, tetapi setiap tahun perkara sebegini masih berlaku. Bukan bumiputera tahu kelemahan bumiputera. Hal ini juga menjadikan pihak penguatkuasa undang-undang lebih berhati-hati, seperti yang dilakukan oleh PDRM yang begitu serius menangani pegawai-pegawainya yang menerima rasuah tanpa mengira jawatan (betul ke ni?).

Merujuk kepada lipatan sejarah Rusia, perancangan ekonomi berperingkat telah dijalankan sejak pemerintahan Stalin lagi. Ekonomi dirancang secara berperingkat yang dipanggil Perancangan 5-Tahun (5-Year Plan), yang mensasarkan beberapa matlamat yang perlu dicapai dalam tempoh 5 tahun. Berlaku pada perancangan 5-Tahun yang pertama, kesemua matlamat dicapai kurang daripada tempoh 5 tahun. Kejayaan mencapai matlamat itu membuatkan Perancangan 5-Tahun kedua digubal dan digariskan 1-2 tahun lebih awal. Perancangan 5-Tahun ini diteruskan sehingga melahirkan Rusia yang merupakan salah satu kuasa besar dunia dalam abad ke-20 yang lalu. Apabila kita perhatikan usaha negara kita melalui RM yang digariskan setiap tahun, mungkin kita perlu belajar dari sejarah Rusia. Mungkinkah kita perlu menggubal satu perancangan ekonomi yang lebih panjang tempohnya?

Lupa pula, negara kita telah pun ada wawasan, iaitu Wawasan 2020. Tetapi, apa akan berlaku? Pengasas Wawasan 2020 pun kini telah berumur 80 tahun, sempatkah beliau menghidu udara 15 tahun nanti? Tercapaikan wawasan yang telah disasarkan kepada negara yang dicintai? Setakat manakah wawasan yang dipasang oleh setiap individu rakyat Malaysia? Hanya setinggi Gunung Tahan? Gunung Kinabalu? atau Gunung Everest? Tinggi mana?

Kita ada wawasan, kita ada perancangan, tapi kita juga ada penyakit. Macam mana baik buruk dicampur dan diadun sekali, macam tu la hasilnya ada cacat cela. Bila orang nampak cacat, dicelanya. Apa perlu kita lakukan kalau bukan merawat penyakit tu? Kalau penyakit tak dirawat, bukan setakat matlamat perancangan tak tercapai, silap haribulan bila dah berbulan dah bertahun penyakit baru akan timbul. Penyakit sosial pun dah makin menular. Pelaksanaan juga jangan disebabkan cita-cita membina nama, "Wah kejayaan RM pada kali ini adalah di bawah pemerintahan.....," biarlah setiap kita serius dalam hal pembangunan negara, sebab negara kita adalah perkongsian ramai, kita kena saksama dan harmoni dalam pengurusan negara kita. Negara kita bukan milik pemimpin, tapi ianya milik kita yang bergelar rakyat. Pemimpin juga rakyat, tapi diberikan kuasa untuk mengepalai urusan negara, kedudukan mereka tiada lebih dari kita, mereka juga rakyat. Negara kita milik kita dan hanya sebahagian dari kita yang dilantik untuk mentadbir urusan "keluarga besar" kita ni, sebab negara kita ibarat sebuah rumah yang memuatkan rakyat yang sepatutnya merasa hormat sesama mereka seperti sayang dan hormatnya dalam hubungan kekeluargaan.

_________________________
Jadi ahli ekonomi ni buatkan jadi patriotik la plak... Eh, memang aku patriotik pun!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home